Wednesday, July 22, 2009

Mansuh PPSMI pada 2012 ganti dengan MBM MBI

Majlis Perhimpunan Warga Pendidik Kementerian Pelajaran Malaysia pada 21 Julai 2009 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Beberapa perkara ingin saya kongsikan daripada ucap utama Menteri Pelajaran Malaysia, Y.A.B Tan Sri Muhyidin Mohd Yassin.

Empat dasar baru yang diperkenalkan sejak beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran Malaysia :
1) Penetapan had 10 matapelajaran untuk SPM.
2) Memperkasakan Sukan Sekolah.
3) Cadangan Bahasa Inggeris (BI) sebagai syarat lulus SPM.
4) Memansuhkan PPSMI mulai 2012 digantikan dengan MBM MBI (Memertabat Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris).

Dasar 1 :
Penetapan had 10 matapelajaran untuk SPM.
Senario pada hari ini, pelajar mendaftar terlalu banyak matapelajaran dalam SPM dan berlumba-lumba mengumpul sebanyak mungkin A. Ini tidak selari dengan hasrat kerajaan untuk melakukan anjakan iaitu dari sistem peperiksaan kepada sistem penilaian yang lebih menyeluruh ( jasmani, emosi, rohani dan spiritual ). Secara tidak langsung mengabaikan perkembangan pelajar secara holistik. Aspek "soft skill" yang amat penting dikuasai oleh pelajar supaya mampu bersaing dalam pasaran kerja yang sangat kompetatif pada masa ini, hanya dapat direalisasikan melalui suatu sistem pentaksiran yang lebih menyeluruh . 10 matapelajaran adalah mencukupi bagi menilai kemampuan pelajar dari segi akademik. Secara tidak langsung, tekanan kepada pelajar dapat dikurangkan dan dapat memberi laluan kepada pihak sekolah untuk melebihkan aktiviti ko-kurikulum dan sukan.

Dasar 2 : Memperkasakan Sukan Sekolah.
Jurulatih sukan akan ditempatkan di sekolah-sekolah bagi mengurus sukan di sekolah. Institusi Pendidikan Guru untuk melahirkan jurulatih sukan akan diadakan.

Dasar 3 :
Cadangan Bahasa Inggeris (BI) sebagai syarat wajib lulus SPM.
Rasional : Untuk memastikan anak-anak menguasai BI dengan baik supaya mudah mendapat peluang pekerjaan. Penguasaan BI yang baik juga adalah nilai tambah bagi diri pelajar-pelajar supaya mampu menceburkan diri dalam sektor yang berdaya saing tinggi dan mampu memenuhi pasaran global. Terdapat pihak yang melahirkan kebimbangan terhadap cadangan ini. Keputusan SPM 2008 yang lepas, hanya 26.9% pelajar luar bandar lulus BI. Sekiranya BI adalah syarat wajib lulus SPM, ini bermakna 73.1% pelajar luar bandar akan gagal di dalam SPM. Walaubagaimanapun, kementerian perlu terus berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan pelajar lemah bagi menguasai BI. 'Leveling up' perlu dilakukan kepada pelajar luar bandar supaya turut dapat bersaing dalam pasaran kerja yang kompatatif. Syarat ini masih dalam kajian dan cadangan.

Dasar 4 :
Memansuhkan PPSMI mulai 2012.
PPSMI akan mula dimansuhkan pada tahun 2012 dan pada masa yang sama mengambil tindakan yang drastik untuk memperkukuh BI. Dasar Memertabat Bahasa Melayu dan memperkukuh Bahasa Inggeris (MBM MBI) diperkenalkan sebagai ganti PPSMI.

Pengajaran Matematik dan Sains di dalam Bahasa Melayu adalah penting untuk pelajar memahami konsep Matematik dan Sains. Kajian saintifik yang dilakukan oleh beberapa pihak menunjukkan, pelajar lebih mudah memahami konsep Matematik dan Sains di dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda.

Data rasmi menunjukkan, pencapaian Matematik dan Sains terus merosot semasa PPSMI dilaksanakan. Keputusan UPSR 2008, 30.6% pelajar darjah enam gagal BI. Ini menunjukkan penguasaan BI yang masih lemah. Kesannya, guru-guru menghadapi masalah menggunakan BI di dalam P&P Matematik dan Sains. Hanya 6-8% sahaja guru menggunakan BI melebihi 90% sewaktu mengajar Matematik dan Sains dan peratus ini hanya tertumpu di sekolah bandar.


Ada pihak yang tidak bersetuju dengan pemansuhan PPSMI

dengan alasan anak-anak mereka tetap cemerlang walaupun PPSMI dilaksanakan. Sebenarnya hanya segelintir sahaja pelajar yang dapat menguasai Matematik dan Sains di dalam BI khususnya sekolah yang berada di dalam kawasan 'elit'. Pelajar yang sederhana pencapaian dalam BI juga sukar menguasai Matematik dan sains yang diajar di dalam BI, apatah lagi pelajar yang lemah BI. Hanya 8% sahaja pelajar yang mampu menguasai Matematik dan Sains di dalam BI dalam negara kita. Majoriti pelajar yang sederhana dan lemah akan terus ketinggalan. Situasi 'knowledge defisit' akan berlaku kerana pelajar tidak dapat menguasai ilmu Sains dan Matematik disebabkan masalah bahasa.

UNESCO memperakui bahasa ibunda adalah bahasa penghantar yang terbaik khususnya di peringkat rendah. UNESCO juga memperakukan matlamat pendidikan untuk semua menggunakan bahasa ibunda.

Insentif khas akan diberikan kepada guru-guru BI yang mengajar di luar bandar.


Catatan;


Cikgu Siti

No comments:

Post a Comment

Post a Comment